KUALA LUMPUR 21 Dis.- Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa anaknya, Nurul Izzah telah menyatakan rasa muak dengan perangai dan telatah golongan yang dilihat lebih sibuk berpolitik daripada bekerja untuk rakyat.
Menurut Anwar, Nurul Izzah turut menyuarakan kekecewaan dengan dengan aksi ahli-ahli Parlimen yang melompat parti bagi menyelamatkan nyawa politik masing-masing.
Jelas Anwar, kekecewaan Nurul Izzah itu disuarakan selepas perbincangannya dengan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berhubung hasrat untuk melepaskan kesemua jawatan yang disandang.

“Bukanlah hak saya untuk memperincikan butir-butir perbincangan tetapi yang jelas adalah ‘kerancakan perkembangan politik yang terus menerus sejak sembilan bulan lalu’ membuatkan beliau mual dan muak dengan perangai dan telatah golongan yang lebih sibuk dengan politik kepartian daripada bekerja untuk rakyat.
“Sebagai contoh, beliau menyatakan kekecewaan dengan aksi ahli-ahli Parlimen yang melompat menyelamatkan nyawa politik tetapi apa yang lebih parah adalah mereka dimanfaatkan untuk rencana yang jelek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 17 Disember lalu, Nurul Izzah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR dan mengundurkan diri daripada pelantikannya sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang.
Jelas Nurul Izzah, beliau hanya mahu berkhidmat kepada rakyat sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh tanpa terikat dengan jawatan di dalam parti.- UTUSAN ONLINE










