KUALA TERENGGANU 18 Dis. – Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Terengganu menggesa Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menarik balik peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi MPN Pulau Pinang.
Pengerusinya, Azan Ismail berkata, tindakan Nurul Izzah ternyata mengejutkan kalangan kepemimpinan di negeri ini dan beliau berharap puteri reformasi itu dapat mempertimbangkan keputusan yang dibuat dan segera memegang kembali jawatan yang dilepaskan.
Katanya, ahli PKR Terengganu terutama MPN masih memerlukan perkhidmatan dan sokongan Nurul Izzah untuk terus memimpin dan memegang jawatan tertinggi dalam PKR sebagaimana diamanahkan.
“Beliau telah mendapat kepercayaan dari majoriti ahli PKR seluruh negara di samping turut memperoleh undi terbanyak selaku Naib Presiden yang dipilih secara langsung oleh ahli.
“Selaku puteri reformasi yang berjuang sejak tahun 1998 kami memerlukan perkhidmatan beliau yang komited dan berjaya menarik sokongan rakyat di semua peringkat di seluruh negara.
“Beliau juga telah membuktikan dirinya seorang pemimpin yang berpengaruh dan mempunyai semangat juang yang hebat dan komited kepada tanggungjawab yang diamanahkan kepada beliau dalam memperkasakan PKR,” katanya dalam kenyataan, di sini sebentar tadi.
Nurul Izzah hari ini mengumumkan peletakan jawatan Naib Presiden PKR dan melepaskan jawatan Pengerusi MPN Pulau Pinang.
Menurut Azan, kewibawaan Nurul Izzah selaku wakil rakyat selama beberapa penggal sudah terbukti malah beliau memainkan peranan besar dalam setiap kali perbahasan mewakili PKR dan juga Pakatan Harapan (PH) di Parlimen.
“Kami tidak nafikan beliau bukan sahaja berpengaruh dalam PKR tetapi turut berperanan menaikkan imej PH di seluruh negara.
“Pemilihan beliau sebagai Pengerusi MPN Negeri Pulau Pinang atas mandat dan kepercayaan penuh daripada ketua-ketua cabang PKR di Pulau Pinang, justeru dilantik selaku Pengerusi MPN yang baharu di Pulau Pinang,” katanya. – UTUSAN ONLINE










