KUALA LUMPUR – PKR hari ini mengumumkan Naib Presiden parti itu, Nurul Izzah Anwar dilantik sebagai Pengerusi Pimpinan Negeri (MPN) bagi negeri Pulau Pinang.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzi dalam kenyataan berkata, lantikan tersebut dibuat setelah selesai proses perbincangan dan rundingan antara Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama ketua-ketua cabang negeri itu.
“Senarai jawatan lantikan lain akan diumumkan kemudian,” katanya.
Sebelum ini PKR mengumumkan 13 pengerusi MPN iaitu Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak (Perak); Amiruddin Harun (Negeri Sembilan); Datuk Johari Abdul (Kedah); Datuk Christina Liew Chin Jin (Sabah); Zahir Hassan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) dan Halim Bachik (Melaka).
Turut dilantik Hassan Abdul Karim (Johor); Azan Ismail (Terengganu); Amran Kamarudin (Perlis); Amirudin Shaari (Selangor); Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor (Kelantan); Fuziah Salleh (Pahang) dan Baru Bian (Sarawak). – Bernama










