KUALA LUMPUR 19 Dis. – Malam ini, pukul 9, segmen hiburan yang disiarkan secara live di Facebook Utusan Online kembali dengan dua artis jemputan, Nubhan dan Shafie Rio.
Nubhan atau pemilik nama Ahmad Nubhan Ahamad merupakan artis kelahiran realiti televisyen, Akademi Fantasia (AF) musim keenam dan menerusi platform itu, Nubhan cuba mencipta nama sebagai penyanyi.
Nubhan tampil dengan single terbaharu berjudul Selamat Jalan Cinta ciptaan Merak Bersyair dan lirik oleh Becky Zulkepli.
Sejak kebelakangan ini, nama Nubhan agak panas apabila warganet melemparkan tuduhan yang berbentuk peribadi terhadap penyanyi yang berasal dari Kuala Pilah yang juga Pengasas produk Kosmetik, Juwita Divine.
Semestinya di platform Jom Chat yang dihoskan oleh Apak, Nubhan boleh memberi pencerahan kepada penonton malam ini.
Sementara itu, nama Shafie Rio kembali segar dalam ingatan para peminatnya selepas muncul dalam Gegar Veganza musim kelima (GV5) lalu walaupun tersingkir pada minggu keempat.
Shafie, vokalis kumpulan Rio yang pernah bernaung di bawah label FMC sekitar tahun 90an, akan muncul dengan single baharu tidak lama lagi.
Bersama kumpulan Rio, mereka sempat melahirkan lima album studio rakaman iaitu Dunia 1001, Ceria, Ikhlas, Kembali Menyerlah dan Rio-Kenangan Lalu.
Untuk rekod, lagu hits kumpulan Rio berjudul Layu Di Hujung Mekar.
Jom Chat malam ini ditaja oleh Husna Kitchen yang menyediakan Kambing Perap Pilah dan Kambing Bakar Pilah. – UTUSAN ONLINE










