KUALA LUMPUR 1 Dis.- Jika disebut tentang durian sudah pasti masing-masing membayangkan keenakannya dan raja buah itu tidak boleh dipisahkan dengan masyarakat di negara ini.
Namun, umum pasti belum mengetahui sepenuhnya mengenai teknologi baharu yang menggunakan cecair nitrogen bagi mengekalkan rasa serta kualiti raja buah ini bagi tujuan eksport ke luar negara.
Kini, pengunjung Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 berpeluang melihat keunikan durian yang telah melalui proses berkenaan.
Pengurus Besar Kumpulan Beho, Sam Hoo berkata, teknologi tersebut hanya digunakan pada durian Musang King sahaja dengan mengikut segala piawaian pelbagai agensi termasuk daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
“Setiap buah mesti dimasukkan terus ke dalam mesin yang diimport dari China dalam masa sejam selepas luruh di bawah suhu negatif 80 darjah Celcius.
“Selepas itu, buah tersebut akan dipek dan disejuk beku untuk dieksport. Kita boleh lakukan proses ini lebih 3,000 biji sehari bagi tempoh 10 jam,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia dekat sini hari ini.










