PUTRAJAYA – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berhubung dakwaan wujudnya unsur rasuah untuk menyambung khidmat jawatan beliau.
Pengerusi Penaja Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, Juhar sepatutnya menamatkan perkhidmatannya pada penghujung bulan ini namun, dikhabarkan khidmat beliau akan disambung selepas ini.
Jelasnya, berdasarkan maklumat yang diperoleh, terdapat usul khas pada Khamis ini untuk membawa perkara tersebut ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi penukaran undang-undang negeri yang membolehkan TYT sedia ada disambung khidmat jawatan.
“Undang-undang negeri Sabah telah mengehadkan jawatan TYT hanya boleh dipegang dalam tempoh dua penggal sahaja iaitu selama enam tahun.
“Sekiranya benar usul tersebut dibentang dan diluluskan, ia merupakan satu amalan rasuah yang harus dihentikan. Oleh itu, saya membuat laporan kepada SPRM agar perkara ini dapat disiasat dengan segera,” katanya pada sidang akhbar perkarangan ibu pejabat SPRM di sini hari ini.
Dakwa Zulkarnain, Juhar merupakan dalang yang telah melantik dua Ketua Menteri Sabah dan menjadi orang penting untuk memujuk wakil rakyat melompat parti untuk menyokong Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk memegang jawatan tersebut.
Beliau turut mendakwa, Juhar juga secara sengaja melewat-lewatkan perlantikan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman untuk mengangkat sumpah meskipun 31 orang wakil rakyat telah menandatangani persetujuan atas lantikan tersebut.
“TYT seharusnya bebas daripada sokongan kepada parti politik kerana rakyat Sabah mempunyai pelbagai latar belakang agama, bangsa dan parti politik yang berbeza.
“Kita berharap maklumat yang diterima ini tidak benar dan sekiranya ada rancangan untuk menyambung khidmat TYT sedia ada, diharap mereka dapat membatalkan hasrat itu,” katanya. -K! ONLINE









