PARIS 3 Dis. – Neymar dikeluarkan pada awal separuh masa kedua ketika Paris Saint-Germain (PSG) beraksi menentang Bordeaux selepas mengalami kecederaan pangkal paha.
Bintang Brazil itu berjaya meletakkan PSG di hadapan pada separuh masa pertama bagi membolehkan skuad Thomas Tuchel meraih kemenangan ke-15 musim ini dalam saingan Ligue 1.
Bagaimanapun, selepas diterjah oleh Jaroslav Plasil, Neymar digantikan Eric Maxim Choupo-Moting pada minit ke-57 dan terus menuju ke arah bilik persalinan.
Neymar mengalami kecederaan pangkal paha ketika beraksi bersama Brazil, bulan lalu dan sebelum ini terlepas aksi menentang Toulouse.
Penyerang itu bagaimanapun sempat diturunkan untuk aksi Liga Juara-Juara menentang Liverpool pada pertengahan minggu ini dan berjaya menjaringkan gol bagi membantu PSG menang 2-1 ke atas The Reds.
“Saya belum cergas sepenuhnya. Tetapi ia adalah perlawanan penting. Sama ada cergas atau tidak saya perlu bersama pasukan,” kata Neymar selepas aksi menentang Liverpool.
Gol Neymar ketika menentang Bordeaux adalah yang ke-32 daripada 32 penampilan sejak menyertai PSG daripada Barcelona dengan rekod perpindahan dunia, Ogos lalu.-AGENSI










