KUALA KEDAH 11 Dis. – Hasrat seorang nelayan menambah baik pelantar bot miliknya berhampiran Pasar Nelayan Kubang Rotan di sini, tidak kesampaian apabila dia maut terkena renjatan elektrik hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.50 petang ketika mangsa, Romli Mohd. Said, 61, dikatakan sedang menyambung peralatan memotong kayu di jeti berkenaan sebelum tiba-tiba rebah dipercayai akibat terkena arus elektrik tersebut.
Anak sulung mangsa, Mohd. Faizal, 32, berkata, salah seorang adiknya yang turut bekerja sebagai nelayan terlihat kejadian itu ketika dalam perjalanan pulang dari menangkap ikan.
“Adik yang memiliki bot sendiri keluar menangkap ikan bersama pekerja (awak-awak) arwah bapa, sebab itu bapa tidak keluar ke laut hari ini. Namun, tak sangka kejadian ini menimpanya dan adik pula nampak dia jatuh ketika menghampiri pelantar.
“Adik juga sempat menjerit meminta pertolongan orang ramai di sekitar itu sebelum mereka mengalihkan peralatan tersebut yang berada di sisi arwah dan segera menelefon ambulan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Ujar Mohd. Faizal lagi, mereka sekeluarga termasuk Allahyarham baru pulang bercuti semalam dan dia sepatutnya bergerak ke Pulau Pinang pagi tadi sebelum meneruskan perjalanan ke ibu negara untuk bekerja.
“Memang saya berat hati nak bergerak balik hari ini, sampaikan saya mengajak isteri dan tiga anak berkunjung ke pelantar bapa untuk melihat dia membuat kerja membesarkan tempat itu.
“Menjelang tengah hari saya bergerak pulang dari pelantar itu dan bapa juga pulang ke rumah untuk makan tengah hari dan solat Zohor sebelum pergi semula pada sebelah petang untuk menyiapkan kerjanya,” katanya.
Bertambah terkilan, kata Mohd. Faizal, pemergian Allahyarham jatuh pada hari ulang tahun kelahiran cucunya yang kelapan hari ini.
“Arwah memang rapat dengan keenam-enam cucunya termasuk tiga anak saya dan setiap kali kami pulang ke kampung untuk bercuti, memang arwah suka bermain dengan mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE









