PETALING JAYA – Kerajaan akan melihat semula kedudukan sejumlah kakitangan awam yang kehilangan pekerjaan ekoran penutupan agensi-agensi kerajaan dalam usaha memberikan keadilan kepada mereka, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau berkata kerajaan akan melihat sama ada mereka terlibat atau tidak dalam melakukan kerja-kerja bagi parti politik.
“Memang ramai jadi mangsa atas tindakan kita, kita akan ambil perhatian sebab mereka tak terlibat dalam politik tapi hanya menjadi kakitangan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Petaling Jaya dekat sini hari ini.
Mahathir berkata, pihaknya akan mengumpul data-data mengenai mereka yang terlibat bagi tindakan lanjut.
Beliau turut mengakui kerajaan dikecam hebat ekoran langkah menutup agensi kerajaan berkenaan yang menjejaskan mata pencarian kakitangan terlibat. – Bernama










