KUALA LUMPUR 1 Dis. – Kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah mewujudkan pelbagai program dan inisiatif khusus bagi membantu golongan gelandangan untuk meringankan beban selain membebaskan mereka daripada kepompong kesusahan.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha, Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk M. Noor Azman Taib, walau bagaimanapun terdapat segelintir gelandangan tegar yang tidak mahu berubah walaupun telah dibantu dengan pelbagai cara.
“Mereka ini tidak ramai, namun gelandangan yang dikategorikan sebagai tegar enggan berubah dan ini berkemungkinan mereka sudah terlalu lama hidup sedemikian.
“Kita sudah bantu hampir 942 gelandangan iaitu sekitar 45 peratus daripada jumlah keseluruhan (2017-2018), namun dianggarkan sekitar 100 hingga 200 gelandangan tegar tetap kembali ke jalanan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jelasnya, pelbagai alasan diberikan kelompok tegar itu antaranya tidak selesa bekerja, ditipu oleh majikan, lebih bebas hidup bergelandangan dan pelbagai lagi.
“Untuk golongan sebegini sememangnya kita tidak dapat berbuat apa-apa, malah kita sendiri tiada kuasa atau akta khas untuk menahan atau mengambil sebarang tindakan undang-undang ke atas mereka sebenarnya,” katanya.
Bermula awal 2018 hingga kini, hampir 10 operasi bersepadu dilaksanakan dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan yang menyaksikan 672 gelandangan yang terdiri daripada warga tempatan dewasa dan kanak-kanak selain warga asing dikumpulkan.
Ditanya adakah sasaran sifar gelandangan dapat dicapai menjelang 2020, M. Noor Azman berkata, misi itu agak sukar untuk dijayakan.










