Nasib baiklah PH ada Syed Saddiq, Kadir Jasin... - Utusan Malaysia

Nasib baiklah PH ada Syed Saddiq, Kadir Jasin…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) patut berterima kasih kepada orangnya sendiri, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Datuk A. Kadir Jasin kerana berani menyuarakan apa yang dianggap mereka benar.

P. WAYTHA MOORTHY
P. WAYTHA MOORTHY 

Bukannya macam orang lain – `makan keliling’ bernada sinikal sehingga anak muda pun tidak faham apa yang mahu diluahkan.

Kedua-duanya, Ketua Armada Nasional dan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu nampaknya rasional biarpun agak `tertinggal bas’. Mereka umpama semak dan imbang untuk PH.

Hakikatnya begitu banyak `serangan’ terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy yang mengaitkan kegagalannya mengendalikan isu sebuah kuil di Subang Jaya tempoh hari.

Dan adakah barangkali Syed Saddiq dan A. Kadir sedar ada pihak cuba `menangguk di air keruh’ di sebalik tindak tanduk Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu? Wallahualam.

Kalau nak kata tindakan pemimpin-pemimpin UMNO mengkritik cara Wathya Moorthy mengendalikan portfolio perpaduan dan kesejahteraan sosial bermotif politik kerana parti itu memang pembangkang, alasan itu boleh diterima. Tapi bila teguran datang daripada rakan-rakan sekutu?

Saya (penulis) bagaimanapun tidak mahu menuding jari kepada sesiapa dalam isu siapa salah, siapa betul. Tapi dalam soal perpaduan, tidak kiralah siapa menterinya, waima Waytha Moorthy sekalipun, mereka harus berpegang kepada matlamat yang satu ini – mempertahankan aset paling berharga Malaysia itu.

Mana-mana menteri perpaduan pun, tidak kira orang baharu atau yang lama dahulu, pastinya akur dan mengakui perpaduan Malaysia sejak merdeka lagi atau ketika tahun-tahun 40-an, 50-an dan 60-an banyak direncanakan melalui tolak ansur orang Melayu.

Orang Melayu boleh dikatakan bijak dalam mentadbirkan sebuah negara yang penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum dan suku kaum. Umum mengetahui negara berbilang kaum biasanya diancam oleh permusuhan antara kaum yang kerapkali diikuti peperangan yang tidak henti-henti. Jika tidak ada peperangan pun, hubungan antara kaum biasanya tegang.

Tapi di Malaysia, bukan sahaja terdapat kaum yang berlainan namun perbezaan itu ditokok-tambah dengan kelainan bahasa, budaya dan agama. Sesungguhnya campuran ini amat mudah `meletup’.

Namun, pemimpin-pemimpin Melayu di waktu perjuangan untuk kemerdekaan telah menjalin satu sistem kerjasama antara kaum yang amat bijak dan istimewa. Sementara identiti kaum dikekalkan, kerjasama dalam satu parti campuran dicipta yang tidak membelakangkan kedudukan orang Melayu sebagai bumiputera anak watan.

Kejayaan sistem ciptaan Melayu ini lebih mengagumkan kerana ia dibentuk semasa pengganas yang majoritinya daripada keturunan Cina sedang melakukan serangan terhadap kerajaan dengan tujuan mendirikan sebuah republik.

Bahawa majoriti orang Cina sanggup menyokong sebuah parti campuran kepimpinan Melayu (Perikatan) yang begitu keras menentang pengganas Cina adalah bukti kemampuan kepimpinan orang Melayu menangani masalah perkauman yang tebal di Malaysia – menanganinya dengan tidak menggadai hak bangsa Melayu.

Tidak ada negara berbilang kaum lain yang berjaya mengatasi masalah perkauman seperti Malaysia di bawah pimpinan orang Melayu.

Inilah bukti kebijaksanaan orang Melayu dan pemimpin-pemimpin mereka iaitu menggunakan akal fikiran dan tidak bernafsu besar dalam pengurusan negara yang baru sahaja merdeka.

Walaupun ada saranan supaya orang Melayu merebut semua kuasa dan menidakkan hak penduduk bukan Melayu – yang mana ini sudah tentu akan memaksa orang Cina – terutamanya menyokong perebutan kuasa oleh pengganas Cina, tetapi kepimpinan Melayu menolak desakan itu. Dengan itu akhirnya pengganas di bawah kepimpinan orang berketurunan Cina ditewaskan.

Demikian kebijaksanaan kepimpinan Melayu dalam politik dan pentadbiran. Dalam bidang pembangunan ekonomi negara juga prestasi pemerintahan yang diterajui Melayu jauh lebih baik daripada yang dijangka sehingga pernah menjadi satu daripada ekonomi ajaib di Timur Asia.

Kerana itu jugalah kita tabik dengan penganjuran perhimpunan #daulathimpunan812 yang meskipun disertai ratusan ribu orang Melayu, tidak ada sebarang rusuhan merosakkan harta benda dan meluahkan kata-kata kesat sepanjang himpunan.

Peserta himpunan sedar apabila budaya mob-rule sudah diterima, pemerintahan pasti tidak dapat berbuat apa-apa untuk memulihkan ekonomi.

Mereka akur, bak kata pepatah Inggeris, Those who live by the sword, shall die by the sword. Mereka yang menjadi pemerintah melalui rusuhan jalanan akan jatuh melalui rusuhan jalanan.

Dan akhirnya maka tidak hairanlah bila mana A. Kadir mahu `menyekolahkan’ beberapa menteri Kabinet ketuanya termasuklah Waytha Moorthy.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN