Nama Gua Musang semakin ‘naik’ - Utusan Malaysia

Nama Gua Musang semakin ‘naik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 17 Dis. – Kawasan hutan di selatan Kelantan terutama di jajahan ini yang dianggarkan berusia 130 juta tahun semakin popular sebagai destinasi ekopelancongan dalam kalangan penggemar sukan lasak dalam dan luar negara.

Pengerusi Lembaga Kema­juan Kelantan Selatan (Kese­dar), Datuk Sazmi Miah ber­kata, pihaknya berbangga apa­bila buat julung kalinya negeri ini terpilih sebagai lokasi kejohanan sukan kenderaan lasak iaitu Rainforest Challenge (RFC) Grand Final 2018 baru-baru ini.

Lebih menarik lagi, katanya, penutup kejohanan yang disertai 300 peserta dari 20 negara itu dibuat di perkampungan Orang Asli di Pos Gob dekat sini.

“Kita amat mengalu-alukan kedatangan peserta daripada pelbagai negara dan berharap program antarabangsa seperti ini akan dilaksanakan lagi di Gua Musang.

“Gua Musang yang terletak di kawasan selatan negeri ini sememangnya mempunyai alam semula jadi yang sesuai untuk penganjuran sukan lasak,” katanya selepas majlis meraikan peserta RFC di Pusat Sivik Gua Musang di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Kesedar, Iskandar Zulkarnain Ibrahim; Pengasas dan Pengurus Acara RFC, Luis Wee dan Koordinator Acara dan Media RFC, Atan Aris.

Kira-kira 40 kenderaan daripada pelbagai negara termasuk Rusia, China, Republik Czech, Australia, Thailand dan Malaysia menyertai RFC kali ini yang berlangsung sejak 24 November dan berakhir 4 Disember lalu.

Sementara itu, seorang wakil Malaysia dari Kelab Angels 4X4, Nur Aina Madia Md. Adnan, 23, mengakui teruja dapat menyertai kejohanan RFC yang disertai bersama kakaknya, Nurul Izzatie, 28, buat kali keempat.

Katanya, trek perjalanan yang jauh dan mencabar di kawasan perkampungan Orang Asli me­nguji kemahiran yang dimilikinya.

“Setiap peserta berdepan ca­baran bentuk muka bumi se­perti cerun, hutan yang tebal dan anak sungai yang deras,” katanya.

“Musim tengkujuh ketika ini turut menguji kami apabila kenderaan yang dipandu saya turut terbalik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN