Nama Adib diletakkan di Tugu Peringatan Wira Merah - Utusan Malaysia

Nama Adib diletakkan di Tugu Peringatan Wira Merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Dis. – Nama Muhammad Adib Mohd. Kassim yang meninggal dunia pada Isnin lalu telah diabadikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Tugu Peringatan Wira Merah di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah Kuala Kubu Bharu, Selangor semalam.

Tugu Peringatan Wira Merah
Nama Muhammad Adib Mohd. Kassim terpahat di  Tugu Peringatan Wira Merah di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah Kuala Kubu Bharu, Selangor. – UTUSAN ONLINE

Upacara meletakkan nama Muhammad Adib itu telah disempurnakan oleh Komandan ABPM Wilayah Tengah, Md Ali Ismail.

Md Ali berkata, Adib adalah simbol bagi pengorbanan dan perjuangan untuk setiap anggota bomba.

“Beliau bagaikan wira kepada kami yang berjuang hingga ke akhir nyawa. Justeru itu, nama Adib sentiasa terpahat di hati semua rakyat Malaysia terutama kami yang menyarung uniform yang sama dengan beliau.

“Tugu peringatan ini juga menjadi tanda ingatan dari JBPM dan Akademi bahawa jasa mereka yang terkorban sentiasa dikenang selamanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pada 18 Disember lalu, JBPM memaklumkan bahawa pihaknya akan mengabadikan jasa dan nama Muhammad Adib di Tugu Peringatan Wira Merah itu.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid memberitahu, jasa Muhammad Adib yang merupakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya itu akan dikenang dalam lipatan sejarah kebombaan negara.

Muhammad Adib meninggal dunia pada pukul 9.41 malam 17 Disember lalu selepas tiga minggu dirawat di Institut Jantung Negara di sini.

Allahyarham mengalami kecederan parah selepas dipercayai dipukul kumpulan perusuh di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, dekat sini ketika ingin memadamkan kebakaran sebuah kereta pada 27 November lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN