KUALA LUMPUR 18 Dis. – Dalam program yang dinamakan Sesi Dari Hati Ke Hati hari ini, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyindir beberapa pemimpin UMNO yang kelihatan tidak senang dengan kedudukannya sebagai Presiden parti itu.
Menganggap segelintir pemimpin tersebut sebagai ‘gila talak’, Zahid turut menjelaskan pemilihan semula parti seperti yang diminta beberapa pihak tidak boleh diadakan kerana tiada peruntukan sebegitu dalam Perlembagaan UMNO.
“Tidak ada satu pun peruntukan dalam Perlembagaan UMNO yang menyebutkan pemilihan semula perlu diadakan. Ia perlu cukup tempoh yang ditentukan, dalam kes ini tiga tahun.
“Bacalah perlembagaan dahulu kalau nak jadi Presiden,” katanya ketika diwawancara dalam program itu.
Beliau walau bagaimanapun tidak menyebut nama pemimpin yang disindir itu.
Sehubungan itu, beliau menegaskan tiada pemilihan semula akan diadakan dalam tempoh tiga tahun penggalnya sebagai Presiden.
“Saya akan adakan pemilihan semula pada tahun 2021, apabila tempoh itu tamat.
“Nak gila talak ni pasal apa?” soalnya.
Zahid selepas itu mengumumkan mengumumkan timbalannya, Mohamad Hasan akan menjalankan tugas Presiden UMNO. – UTUSAN ONLINE










