KUALA LUMPUR 21 Dis. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah menjangkakan kemerosotan dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) bagi tahun ini.
Beliau berkata, punca itu berlaku akibat kejatuhan indeks Bursa Malaysia dan ekonomi negara yang semakin menurun selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.
“Dividen dan bonus ASB untuk tahun ini ialah 7 sen (6.50 sen + bonus 0.50 sen) berbanding 8.25 sen (7 sen + bonus 0.25 sen + bonus khas 1.00 sen) untuk tahun lalu.
“Walaupun bonus khas 1.00 sen untuk tahun lepas dihadkan kepada 10,000 unit pertama, sebahagian besar pemegang unit berjumlah kira-kira 7.5 juta dengan baki sehingga 10,000 unit mendapat pulangan efektif sebanyak 8.25 sen berbanding 7 sen tahun ini,” katanya dalam laman Facebook rasmi beliau di sini hari ini.
Najib mengulas pengumuman oleh Permodalan Nasional Berhad hari ini mengenai dividen ASB sebanyak 6.50 sen dan bonus 0.50 sen seunit bagi ASB untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.
Malah, beliau juga menyifatkan nilai itu merupakan kadar dividen paling rendah sejak penubuhan ASB pada 1990.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pekan itu menjelaskan situasi kemampuan ASB membayar dividen tersebut walaupun
harga saham yang dilaburkan mereka sudah jatuh dengan banyak tahun ini.
“ASB tidak hanya melabur di dalam pasaran saham. Mereka juga melabur dalam pegangan bon kerajaan, bon swasta dan hartanah.
“Sama juga dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan selaras dengan pelaksanaan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 9, ASB yang merupakan unit amanah harga tetap, juga tidak lagi mengiktiraf sebarang rosot nilai ke atas pegangan ekuitinya bermula tahun ini,” jelasnya.
Tambah Najib, walaupun 2019 akan lebih mencabar berbanding tahun ini, beliau meminta rakyat sama-sama berdoa agar kadar dividen bagi tahun depan akan pulih semula. -UTUSAN ONLINE










