KUALA LUMPUR 13 Dis. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) serta Proton menurunkan harga model kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama keluaran syarikat kereta tersebut, X70 supaya rakyat mampu membelinya.
Najib berkata, ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi pinjaman mudah dan peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada Proton semasa kerjasama dengan syarikat automotif China, Geely diumumkan, gambaran yang diberikan ialah harga model itu antara RM70,000 hingga RM90,000 sebuah.
Katanya, beliau diberitahu harga SUV itu di pasaran China bermula dari RM63,000 sebuah manakala harga di Malaysia dijangka antara 10 peratus hingga 20 peratus lebih mahal berikutan faktor cukai dan kelengkapan yang berbeza.
Jelasnya, ramai yang kecewa apabila harga yang diletakan agak tinggi bermula RM99,800 sehingga RM123,800 sebuah.
“Saya harap kerajaan PH dengan Proton boleh menimbangkan untuk menurunkan harga model asas X70 ini dari RM99,800 sebanyak RM10,000 atau RM15,000 supaya lebih ramai rakyat akan mampu memiliknya.
“Ini memandangkan kerajaan Malaysia yang telah banyak menolong dengan pinjaman mudah dan peruntukkan R&D,” katanya menerusi status dalam laman Facebook beliau hari ini.-UTUSAN ONLINE











