PUTRAJAYA 10 Dis.- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai berhubung kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut sumber, beliau ditahan di ibu pejabat SPRM pada pukul 10.51 pagi ini.
Terdahulu, beliau hadir ke SPRM pada pukul 10.42 pagi untuk dirakam keterangan berhubung siasatan kes itu.
Beliau tiba di sini dengan menaiki kereta jenis Kia Sorento berwarna perak.
Sebelum ini, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang turut dirakam keterangan oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes sama.
SPRM sebelum ini dilaporkan telah memulakan siasatan berkaitan dakwaan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB itu.
SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, suruhanjaya itu juga telah meneliti dokumen asal laporan tersebut untuk dibandingkan dengan draf akhir yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara.
Perkara itu susulan pendedahan Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad pada 25 November lalu yang dilaporkan mengesahkan laporan akhir pengauditan 1MDB telah dipinda atas arahan Najib.
Madinah dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media memberitahu, laporan itu ada menyebut kehadiran individu diburu iaitu Low Taek Jho atau Jho Low dalam salah satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah 1MDB.
Dakwa Madinah, Najib menerusi Ketua Setiausaha Sulit beliau, Tan Sri Shukry Salleh mengarahkan perenggan itu digugurkan atas alasan ia sensitif dan bagi mengelak fakta diputarbelitkan pihak pembangkang. – UTUSAN ONLINE










