Najib beredar dari Kompleks Mahkamah KL - Utusan Malaysia

Najib beredar dari Kompleks Mahkamah KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, pada pukul 12.12 tengah hari ini selepas menghadapi pertuduhan berhubung kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau yang berpakaian sut biru gelap kelihatan tenang sambil memberikan senyuman sebelum beredar menaiki kenderaan Proton Perdana berwarna hitam.

Turut meninggalkan kompleks berkenaan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy kira-kira satu jam sebelumnya.

Kedua-dua mereka enggan memberi sebarang ulasan berhubung kes berkenaan kepada media yang menanti di pekarangan kompleks mahkamah itu sejak pukul 7 pagi tadi.

Najib hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Manakala, Arul Kanda didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan Najib.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan kes tersebut dan masing-masing diarahkan supaya membayar wang ikat jamin sebanyak RM500,000 seorang. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×