Naik bas dari Terengganu sertai #DaulatHimpunan812 - Utusan Malaysia

Naik bas dari Terengganu sertai #DaulatHimpunan812

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Dis. – Sepasang suami isteri dari Marang, Terengganu sanggup menaiki bas ke ibu negara untuk menyertai Perhimpunan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) #DaulatHimpunan812 hari ini.

Suri rumah, Asiah Harun, 55, berkata, dia dan suaminya, Mamat Jambol, 57, bertolak dari rumah mereka bersama anak lelaki kira-kira pukul 11 malam tadi.

“Kami sampai pada pukul 4.30 pagi ini dan berehat dahulu di dalam bas sebelum perhimpunan bermula.

“Tujuan kami menyertai perhimpunan ini bagi menzahirkan perasaan tidak setuju kerana walaupun ratifikasi ICERD sudah dibatalkan namun masih ada pihak dalam kerajaan masa kini yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman,” katanya ketika ditemui di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Ujar Asiah, dia mengetahui tentang himpunan tersebut melalui laman media sosial dan juga ceramah di sekitar kawasan tempat tinggal.

“Saya tiada masalah untuk menyertai himpunan seperti ini kerana kita sayangkan Malaysia dan agama Islam. Diharap himpunan ini akan memberi kesedaran kepada kerajaan untuk mendengar suara rakyat,” ujarnya.

MUNIF HUSSAIN
MUNIF HUSSAIN 

Sementara itu, seorang lagi peserta, Munif Hussain, 44, sanggup memandu sendirian dari Bera, Pahang untuk menyertai perhimpunan yang berlangsung di Dataran Merdeka itu.

“Saya bertolak dari Bera selepas Subuh pagi tadi dan tibe di Dataran Merdeka pada pukul 10 pagi. Saya rasa amat bersemangat melihat peserta yang sangat ramai dalam perhimpunan hari ini.

“Saya rasa terpanggil untuk menyertai perhimpunan ini kerana rasa tanggungjawab bagi menjamin masa depan anak cucu kita di negara ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN