KUALA LUMPUR 10 Dis. – Keadaan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, yang cedera parah dibelasah dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya dekat sini, 27 November lalu semakin baik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, pihak Institut Jantung Negara (IJN) memaklumkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya itu sudah boleh menulis di papan putih untuk berkomunikasi.
“Saya dimaklumkan pihak IJN bahawa Muhammad Adib masih tidak boleh dilawati jadi saya menghormati perkara itu.
“Bagaimanapun, pakar perubatan sempat memberitahu perkembangan Muhammad Adib yang kini telah memberikan respon untuk berkomunikasi dengan menulis di papan putih,” katanya kepada pemberita di IJN, Jalan Tun Razak di sini hari ini.
Terdahulu, Mujahid menyampaikan wang sumbangan bagi mewakili Yayasan Takwa di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada bapa Muhammad Adib, Mohd. Kassim Abdul Hamid.- UTUSAN ONLINE










