KUALA LUMPUR 21 Dis.- Peguam Negara, Tommy Thomas didesak supaya peka dengan gesaan rakyat yang mahukan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim diambil tindakan pendakwaan dengan segera.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, kegagalan Tommy berbuat demikian hanya akan menyebabkan kredibiliti kerajaan Pakatan Harapan (PH) terjejas dan bertambah buruk di mata rakyat.
“Peguam Negara perlu bertindak secara adil dan dalam kes kematian Muhammad Adib, seluruh rakyat Malaysia mahu melihat sistem perundangan negara serta institusi kehakiman benar-benar ditegakkan.
“Pada masa yang sama, Kerajaan PH sering mencanangkan slogan kedaulatan undang-undang. Justeru, tidak ada alasan lagi bagi Jabatan Peguam Negara untuk melengah-lengahkan pendakwaan kes kematian Muhammad Adib,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ahli Parlimen Parit Sulong itu lagi, tindakan Tommy yang melengah-lengahkan pendakwaan terhadap mereka yang dipercayai bertanggungjawab menyebabkan kematian Muhammad Adib seperti dilihat menafikan hak dan keadilan mangsa.
“Rakyat sedang ‘tunggu dan lihat’ adakah Tommy berani melaksanakan tugasnya tanpa tunduk kepada mana-mana tekanan atau campur tangan politik,” katanya. – UTUSAN ONLINE










