KUALA LUMPUR 10 Dis. – Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan menaikkan kadar kompaun dan kos tunda kenderaan dari RM 132 kepada RM260 untuk semua kenderaan yang didapati melanggar peraturan lalu lintas di pentadbirannya berkuat kuasa 2 Januari tahun depan.
Pelaksanaan kenaikan kadar bayaran kompaun dan kos tundaan kenderaan itu bertujuan mendisiplinkan masyarakat untuk lebih mematuhi peraturan, selain mengurangkan masalah lalu lintas di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.
Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ berkata, keputusan itu telah diluluskan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan dan Mesyuarat MPSJ.
“Kadar kenaikan itu termasuk RM50 bagi bayaran kompaun, RM200 caj tunda serta kos simpanan kenderaan sebanyak RM10 sehari.
“Pemilik kenderaan yang ditunda pula perlu menjelaskan bayaran kompaun tertunggak terlebih dahulu sebelum kenderaan dilepaskan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Untuk rekod, sehingga November 2018, sebanyak 6,462 Notis Tawaran Kompaun serta tindakan tundaan kenderaan telah dikeluarkan MPSJ kepada pesalah lalu lintas di kawasan pentadbirannya. -UTUSAN ONLINE










