LONDON 16 Dis. – Seorang pemain senior Manchester United mendedahkan permasalahan yang sedang melanda Old Trafford dengan mendakwa, 90 peratus daripada skuad itu tidak lagi menyokong Jose Mourinho.
Skuad kendalian Mourinho kini ketinggalan 16 mata di belakang seteru tradisi mereka, Liverpool.
Pemain yang enggan dikenali itu memberitahu The Sun, bukan sahaja pemain malah kakitangan kelab juga percaya bahawa bekas jurulatih Real Madrid dan Chelsea itu akan meninggalkan Old Trafford tidak lama lagi.
Sumber tersebut juga memberitahu, Mourinho semakin hilang pengaruh kerana 90 peratus pemain tidak lagi memberikan sokongan kepadanya.
“Saya akan kekal lebih lama di sini hanya jika dia pergi,” kata seorang kakitangan kelab.
Difahamkan, selepas United terikat 2-2 dengan Southampton pada 2 Disember lalu, Mourinho melepaskan kemarahan kepada Paul Pogba dan menggelarnya sebagai virus.
Mourinho jelas tidak gembira apabila semakin hilang sokongan daripada Timbalan Pengerusi Eksekutif kelab itu, Ed Woodward ekoran masalahnya dengan Pogba.
Pengendali kelahiran Portugal itu juga berdepan masalah dengan Woodward selepas dia gagal mendapatkan pemain tengah yang diinginkan, selain dihalang daripada melepaskan Anthony Martial.
Woodward bagaimanapun memberitahu para pelabur, kedudukan Mourinho sebagai pengurus masih selamat meskipun pasukan itu bergelut dengan prestasi semasa.– AGENSI










