Bermula daripada Twitter, Facebook dan Instagram, dia kini kini mula dikenali ramai dengan angka pengikut mencecah 200,000 orang. Bukan itu sahaja, populariti yang dikecapi memberi laluan untuk dia mencipta nama sebagai personaliti berpengaruh media sosial.
Anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini juga membuktikan bahawa media sosial mampu membawa impak bukan sahaja di dunia maya, tetapi dunia realiti. Muhammad Hafiz Hamzah, 21 atau lebih dikenali dengan @slurpee_crank mengajak orang ramai khususnya remaja ke arah hidup yang lebih positif melalui video motivasi seminit.
Menariknya, motivasi yang disampaikan berjaya menyentuh jiwa penonton video tersebut. Penggunaan nada suara yang bersahaja, lembut, dialek Utara yang dicampur dengan bahasa Inggeris yang mudah ternyata menarik perhatian remaja. Tidak ketinggalan, personaliti Muhammad Hafiz yang sempoi ala K-Pop dengan pakaian hud mudah didekati sesiapa sahaja.
“Dua tahun lepas, ketika saya masih belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), saya dapat idea untuk berkongsi kebaikan dengan orang lain. Ketika itu saya tertanya-tanya, kenapa remaja tidak gemarkan motivasi atau ceramah yang disampaikan oleh penceramah atau pakar motivasi? Sedangkan kita tengok mereka ada peminat sendiri dalam kalangan dewasa.
“Jadi, saya terfikir untuk menyampaikan sesuatu kebaikan dalam bentuk video dengan gaya sendiri. Daripada satu video, rakan-rakan saya menyebarkannya dan lama-kelamaan saya mempunyai pengikut sendiri,” katanya.
Ditanya tentang pemilihan topik, Muhammad Hafiz mendapat ilham daripada perkara yang berlaku di sekelilingnya. Walaupun video tersebut hanya seminit, proses menyiapkannya bukan mudah. Pemilihan perkataan perlu dekat dengan orang ramai seperti awan dan langit yang mengajak mereka berfikir dan membayangkan situasi tersebut.
“Kadang-kadang ada juga tajuk yang pelik tetapi perkara asas yang saya bawa adalah kebaikan. Penggunaan ayat dan muzik perlu teliti supaya memberi impak kepada orang ramai,” ujar anak ketujuh daripada lapan adik-beradik ini.
Selain aktif dalam media sosial, Muhammad Hafiz juga berjinak-jinak dalam bidang perniagaan. Mahu lebih serius sebagai usahawan, dia mempunyai pasukan yang menguruskan perniagaan hud.
“Sejak tahun lepas, saya mula berjinak-jinak menjual hud. Daripada situ, saya menerima banyak tempahan dan semua barangan berjaya dijual sehingga kehabisan stok,” katanya.
Menurut Muhammad Hafiz, atas platform tersebut dia juga menerima tawaran untuk mempromosikan produk orang lain dan menerima bayaran yang agak lumayan. Malah akuinya, dia mampu meraih pendapatan untuk perbelanjaan pengajiannya dan membantu menambah pendapatan keluarga.
“Saya juga berjaya menyimpannya untuk memulakan modal dalam perniagaan saya sendiri,” katanya.
Meneruskan impian untuk menghasilkan jenama dan produk sendiri, Muhammad Hafiz memilih perniagaan tudung yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Minat mendalam menerusi bidang perniagaan, mendorongnya menyertai kursus dan motivasi perniagaan daripada usahawan dan personaliti media sosial terkenal negara. Akui Muhammad Hafiz, daripada situ dia berjaya menimba banyak ilmu dan menubuhkan pasukan jualan sendiri yang terdiri daripada rakan-rakannya.
“Apa sahaja ilmu yang saya dapat, saya akan cuba gunakannya dengan sebaik mungkin. Untuk berjaya, ia memerlukan kerjasama daripada orang sekeliling kita,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Hafiz tidak menafikan ledakan penggunaan gajet dan media sosial dalam kalangan masyarakat kian menjadi fenomena. Nasihatnya kepada remaja supaya menggunakan gajet untuk perkara berfaedah dan mendatangkan hasil.
“Kita tidak boleh menafikan perkembangan media sosial. Pun begitu, remaja harus bijak menggunakannya untuk kebaikan yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.










