TERLETAK di Dataran Putra, Presint 1, Putrajaya, Arca Antirasuah bukan sahaja menjadi tarikan baharu pelancongan tetapi juga satu monumen solidariti perjuangan rakyat Malaysia memerangi rasuah.
Majlis perasmian telah disempurnakan Amir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani dan disaksi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Jumaat lalu.
Arca setinggi 12 meter tersebut merupakan hadiah daripada kerajaan Qatar kepada Malaysia bersempena penganjuran Anugerah Kecemerlangan Antarabangsa Antirasuah Sheikh Tamin yang diadakan buat julung kalinya di Malaysia anjuran Rule of Law and Anti-Corruption Center (ROLACC), Doha, Qatar dengan kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berkenaan Dadah dan Jenayah (UNODC).
Direka pengukir terkenal Iraq, Ahmad Al Bahrani, pembinaannya yang diperbuat daripada besi keluli mengambil masa hampir sebulan untuk disiapkan oleh syarikat Ambang R Sdn. Bhd. dan terdiri daripada 10 bahagian berbeza sebelum dicantumkan menjadi satu monumen berbentuk telapak tangan terbuka.

Apa yang menarik, Malaysia merupakan negara pertama di luar benua Eropah yang mempunyai arca seumpama itu selepas Vienna, Austria dan Geneva, Switzerland. Malah ia merupakan tertinggi setakat ini berbanding kedua-dua arca sebelum ini yang mempunyai ketinggian tiga dan enam meter.
Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed ketika ditemui berkata, pembinaan monumen tersebut membawa maksud yang signifikan bahawa usaha melawan gejala rasuah oleh rakyat Malaysia telah mendapat pengiktirafan luar.
Monumen itu katanya, melambangkan penghargaan kerajaan Qatar terhadap usaha rakyat Malaysia dan Perdana Menteri dalam membanteras gejala rasuah.
“Sehubungan itu, arca ini telah diberikan kepada Dr. Mahathir dan juga rakyat Malaysia kerana menghargai usaha-usaha memerangi rasuah. Kita perlu melihatnya sebagai satu bentuk pengiktirafan kepada rakyat dan pemimpin negara,” katanya.
Struktur Arca ini amat unik memandangkan ia dibina sedikit condong ke hadapan dan memerlukan asas yang kukuh di bahagian bawahnya.










