Mohon tambah kuota haji - Utusan Malaysia

Mohon tambah kuota haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG 13 Dis. – Kuota haji Malaysia untuk musim tahun depan kekal sebanyak 30,200 jemaah.

Walau bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan agar kouta itu ditambah memandangkan jumlah penduduk Malaysia kini meningkat kepada 31 juta.

Menurut beliau, perkara itu dimaklumkan kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Mohammad Saleh Taher Benten sewaktu dalam Mesyuarat Tahunan Menteri-menteri Haji yang berlangsung di Jeddah, semalam.

“Sekiranya diambil kira soal pertambahan penduduk itu, kita sepatutnya dapat kuota haji sebanyak 31,200 atau yang ditentukan berdasarkan 0.1 peratus jumlah penduduk sesebuah negara mengikut ketetapan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sejak 10 tahun lalu.

“Namun sehingga kini, kita tunggu reaksi daripada permintaan kita, tetapi kuota iaitu 30,200 orang masih kekal bagi Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari Jeddah, Arab Saudi hari ini.

Mujahid menambah, kelancaran Program Prapelepasan Haji yang dilaksanakan di Malaysia sebagai perintis tahun ini kemungkinan akan diteruskan oleh Arab Saudi pada musim haji 2019.

Katanya, kerajaan negara itu memuji dan mengiktiraf kecekapan pengurusan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dalam mengendalikan perjalanan ibadah jemaah pada musim haji kali ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×