KUALA LUMPUR 31 Dis. – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempunyai hak untuk mendapat 70 peratus jawatan lantikan dalam parti tersebut.
Hak itu berasaskan dua sebab iaitu kemenangan besar sebanyak 70 peratus dalam Pemilihan PKR yang berlangsung selama dua bulan sejak September hingga November lalu dan amalan prinsip ‘fair and just representation’.
Bekas Setiausaha Akhbar kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khalid Jaafar berkata, walaupun lantikan adalah kuasa Presiden parti namun pelantikan tiga Naib Presiden, pada Jumaat lalu telah mengabaikan prinsip tersebut.
“Sebagai ketua pasukan yang menang 70 peratus, Mohamed Azmin dan pasukannya berhak mendapat 70 peratus jawatan lantikan.
“Winner cannot take all (Pemenang tidak boleh mengambil semua). Betullah tu. Tetapi masalahnya sekarang loser takes almost all (yang kalah mengambil hampir semua),” katanya dalam status Facebook miliknya hari ini.
Pada 28 Disember lalu, Presiden PKR, Anwar mengumumkan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dilantik semula sebagai Naib Presiden PKR dalam barisan kepemimpinan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang baharu bagi sesi 2018-2021
Anwar turut mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang dan Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju sebagai Naib Presiden yang masing-masing mewakili Sabah dan Sarawak.
Turut dilantik semula, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sebagai Setiausaha Agung parti. – UTUSAN ONLINE










