JOHOR BAHRU 19 Dis. – Datuk Seri Mohamad Hasan harus menyusun gerak kerja parti bermula esok bagi membolehkan jentera UMNO melihat kesinambungan parti itu dengan lebih jelas.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Md. Shah berkata, apa yang berlaku hari ini diharap menjadi pengajaran berguna kepada semua di peringkat pucuk pimpinan sehingga ke akar umbi dalam usaha menjadikan UMNO terus relevan dan tidak hilang di tanah air.
“Bagi mereka yang sudah meninggalkan parti, selamat jalan dan berjuanglah kalian mencari impian yang diidamkan bersama parti baharu, bagi yang terdetik untuk ‘melompat’ ke sebelah sana, fikirlah sedalam-dalamnya agar kelak tidak merana diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Ahmad Zahid malam semalam membuat pengumuman akan menyerahkan tugas-tugas presiden kepada Mohamad bagi menyelamatkan parti daripada terus berpecah dan demi penyatuan ahli-ahlinya.
Langkah tersebut kata Ahmad Zahid, penting dalam memastikan UMNO bangkit terutama ketika ramai Ahli Parlimen dan ADUN menerima pelbagai tekanan agar meninggalkan parti.
Mohd. Hairi berkata, Pemuda UMNO Johor mennyambut baik keputusan dibuat Presiden parti dan menganggapnya bukan mudah dan hanya dilakukan seseorang yang berjiwa besar.
“Bagi Pergerakan Pemuda UMNO Johor, semua keputusan yang dibuat ada hikmahnya dan apa yang penting adalah bagaimana parti keramat ini dapat terus belayar pada hari esok, lusa dan 100 tahun akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE










