SERDANG – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) komited untuk meneliti kajian mengenai cadangan bagi mewujudkan satu akta untuk membendung pembaziran dan mengurangkan kadar sisa makanan di negara ini.
Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata kajian itu bakal melibatkan perbincangan dengan beberapa kementerian antaranya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Katanya, makanan banyak terbuang berlaku terutamanya menjelang musim perayaan.
“Saya sedar daripada pengalaman kita terutama pada bulan Ramadan* hotel atau resort yang buat jamuan atau bufet kebanyakannya membuang makanan dengan begitu banyak.
“Jadi saya melihat perkara ini dengan sangat serius,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas majlis penutup pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai cadangan akta itu yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika berucap pada majlis penutup MAHA 2018 hari ini. – Bernama










