Misbun yakin Chong Wei sudah bersedia - Utusan Malaysia

Misbun yakin Chong Wei sudah bersedia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS lima bulan tidak memegang raket, jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei dijangka berdepan sedikit masalah dari segi kecergasan apabila kembali ke gelanggang latihan.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Datuk Misbun Sidek mengakui bekas pemain No.1 dunia itu mungkin memerlukan sedikit masa untuk kembali menyesuaikan diri dengan intensiti latihan.

Bagaimanapun, beliau menaruh sepenuh keyakinan bahawa anak didiknya itu sudah melakukan persediaan untuk kembali ke gelanggang dengan melakukan latihan ringan di rumah termasuk mengangkat bebanan.

“Apabila sudah lama tidak ber-aksi, deria dan kemahuan tidak hilang tetapi dia mungkin akan terjejas dari segi pernafasan apabila kembali jalani latihan kerana tenaga yang keluar adalah daripada dalamannya.

“Selain itu, dia juga memerlukan kudrat yang banyak untuk lakukan pergerakan tetapi saya percaya dia sudah melakukan latihan ringan dengan mengangkat bebanan di rumah,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.

Chong Wei yang juga pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik tidak menjalani latihan sejak penghujung Julai lalu sebelum disahkan menghidap kanser hidung peringkat awal, sekali gus memerlukan dia mendapatkan rawatan di Taiwan hingga Oktober.

Pada masa sama, Misbun juga tidak terkejut sekiranya Chong Wei memerlukan masa lebih lama sebelum membuat keputusan kembali ke gelanggang kerana menganggap pemain itu lebih arif berhubung tahap kesihatannya.

“Saya tidak terkejut jika dia perlukan masa lebih lama kerana hanya dia tahu keadaan diri sendiri. Sekiranya dia nak ambil masa lebih lama, saya terima kerana semangat yang ditunjukkan untuk kembali ke gelanggang sudah luar biasa.

“Apa sahaja keputusan yang dibuat, kita perlu hormati dan kami setia menunggu kepulangannya ke gelanggang latihan,” ujar Misbun lagi.

Terdahulu, Chong Wei menyatakan dia terpaksa menangguh dahulu hasratnya untuk kembali ke gelanggang penghujung bulan ini memandangkan perlu berangkat ke Taiwan bagi menjalani pemeriksaan lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN