Minta jaminan AIM kekal - Utusan Malaysia

Minta jaminan AIM kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING 10 Dis. – Kesatuan Pekerja-Pekerja Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Semenanjung berharap kerajaan dapat memberi jaminan untuk tidak akan membubarkan AIM.

Presidennya, Ismail Yahya berkata, ini bagi meredakan kebimbangan kira-kira 3,100 kakita­ngan AIM dan lebih 300,000 peminjam di seluruh negara terhadap kemungkinan AIM dibubarkan.

Menurut beliau, laporan bahawa organisasi itu akan dibubarkan memberi kesan kepada kakitangan manakala peminjam khuatir tidak dapat menikmati kemudahan membuat pinjaman seperti yang ditawarkannya.

“Kakitangan AIM dan peminjam masih berasa bimbang ekoran laporan berita bahawa AIM akan dibubarkan namun berdasarkan maklumat, hanya anak syarikat AIM yang dibubarkan bukannya AIM itu sendiri.

“Saya berharap AIM dikekalkan dan kerajaan memberi jaminan AIM tidak akan dibubarkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Ismail, AIM mempu­nyai dua anak syarikat iaitu AIM Solution dan Amanah Ikhtiar Sdn. Berhad dan ia bukan syarikat yang mengeluarkan pinjaman.

“AIM memang tak boleh berniaga dan tak boleh tubuh anak syarikat kerana me­nyalahi prosedur surat cara AIM. Jadi terpulang kepada kerajaan untuk bertindak,” katanya.

Menurutnya, jika AIM dibubarkan, ke mana hala tuju kakita­ngan yang rata-ratanya masih baru berkhidmat.

Beliau berkata, lebih penting ialah nasib para peminjam di seluruh negara yang akan kehila­ngan sumber untuk membuat pinjaman secara mudah tanpa cagaran dan penjamin.

Katanya, AIM yang ditubuhkan pada tahun 1987 terbukti berupaya meningkatkan taraf hidup rakyat dan berdasarkan penyata kumulatif sejak tahun 1995 hingga Jun lalu, lebih kurang RM20 bilion disalurkan kepada 340,000 peminjam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN