GUA MUSANG – Tugas sebagai suri rumah tidak menghalang Maria Isamail @ Ismail, 32 tahun, meneruskan minatnya menghasilkan produk bakeri dan pastri.
Minat yang dipupuk sejak zaman remaja itu diteruskan bagi menghasilkan lebih banyak juadah yang mengikut trend dan selera orang ramai.
Marlia yang berasal dari Felda Trolak Selatan, Sungkai, Perak telah terlibat dalam bidang itu sejak 10 tahun lalu.
Menurutnya, suaminya, Wan Mohd. Ridhwan Wan Aris, 34, banyak memberi galakan apabila membantunya membeli peralatan bagi proses membuat produk itu dan mencari pelanggan.
Katanya, antara produk bakeri dan pastri yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat setempat di Gua Musang itu ialah brownies, cream puff, cheese tart, apam polkadot, muffin coklat, makaroni bakar dan biskut.
“Saya belajar sendiri membuat juadah tersebut daripada laman sosial YouTube dan tidak pernah mengikuti sebarang kelas secara profesional.
“Biarpun beroperasi di rumah, saya banyak mendapat tempahan juadah itu untuk majlis perkahwinan atau majlis tertentu agensi kerajaan dan swasta,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Wangi di sini hari ini.
Tambah Marlia, walaupun berdepan kesibukan menjaga dua anak lelaki yang semakin lasak membesar, dia tetap menyiapkan tempahan pelanggan mengikut masa ditetapkan.
“Saya sudah biasa tidak tidur seharian menyiapkan tempahan pelanggan. Pada tahun ini juga saya berjaya menyiapkan tempahan 700 bekas biskut daripada pelanggan.
“Bagaimanapun, akibat ketiadaan peralatan seperti mesin pengadun dan ketuhar yang kecil ianya memakan masa yang panjang untuk disiapkan,” katanya.
Marlia berharap usahanya itu mendapat perhatian agensi kerajaan berkaitan dengan memberi bantuan peralatan dan khidmat nasihat bagi mengembangkan lagi perniagaan yang dilakukan di rumah itu. – K! ONLINE










