KOTA BHARU 30 Dis. – Seorang lelaki warga Thailand yang dikatakan penjenayah dikehendaki di negaranya dihukum penjara enam tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan memiliki pistol dan peluru, Februari lalu.
Hukuman itu diputuskan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin selepas tertuduh Surin Samah, 31, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Tertuduh turut dihukum penjara empat tahun selepas mengaku memiliki 14 peluru hidup tanpa lesen. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 3 Februari 2018.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Surin didakwa memiliki pistol bertulis Uzi Eagle serta memiliki 14 butir peluru 9 milimeter tanpa lesen di sebuah rumah di Jalan Kampung Lancang, Ketereh di sini pada jam 4.40 pagi, 3 Februari 2018.
Bagi kesalahan memiliki pistol dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan minimum enam sebatan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, ibu tertuduh, Husna Abdul, 55, dan isteri tertuduh, Tuan Salmiza Nik Kecik, 33, dihukum penjara setahun selepas mengaku bersubahat serta ada bersama dengan tertuduh yang memiliki pistol
Husna dan Tuan Salmiza didakwa ada bersama Surin yang memiliki pistol pada tarikh, waktu dan lokasi sama. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 9 Akta Senjatapi 1971 yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan juga minimum enam sebatan.
Terdahulu, peguam Mohd. Hazrin Alif Wahab yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara minimum berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Noorazlinawati Mohd Arshad memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam selain barang kes yang dirampas sangat bahaya dan boleh mengakibatkan kematian dan kecederaan jika digunakan.
Media pada 2 Mac lalu melaporkan, enam warga Thailand iaitu Surin, ibunya dan isterinya, serta tiga lagi saudara mereka, Santee A. Wae, 39; Bungsak Krempek, 23; dan A-Noosara Toseng, 19, dihadapkan ke tiga mahkamah berbeza, di sini atas 13 pertuduhan memiliki senjata api, peluru dan dadah.
Mereka yang berasal dari Narathiwat, dikatakan sedang diburu pihak berkuasa Thailand kerana dipercayai terlibat dalam beberapa siri kejadian letupan bom dan bunuh. – UTUSAN ONLINE










