KUALA LUMPUR – Keadaan anggota bomba yang parah akibat diserang kumpulan perusuh di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya memberikan reaksi positif apabila tidak lagi perlu menggunakan mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) yang membantu fungsi paru-parunya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Institut Jantung Negara (IJN) hari ini, mesin tersebut tidak perlu digunakan lagi kerana Muhammad Adib Mohd. Kassim menunjukkan perkembangan yang baik daripada sudut klinikal.
“Pasukan pakar yang merawatnya termasuk Datuk Dr. Mohamed Ezani Md. Taib, Datuk Dr. N. Thiru Kumar, Datuk Dr. Suneta Sulaiman dan Dr. Nadia Mohd. Ariffin serta kakitangan paramedikal daripada Unit Rawatan Rapi IJN telah menanggalkan mesin tersebut pada pukul 12 tengahari tadi.
“Muhammad Adib masih memerlukan bantuan pernafasan dengan menggunakan mesin ventilator dan dialisis,” katanya hari ini.
Tambah kenyataan itu, senaman rehabilitasinya akan ditambah secara intensif untuk meningkatkan kekuatan otot dan kakinya.
“Adib juga mengikuti senaman pernafasan bagi jantungnya yang disediakan pasukan fisioterapi dan nutrisi IJN dan menunjukkan perkembangan positif dalam masa 72 jam ini.
“Adib dan keluarganya berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas doa dan sokongan berterusan kepada mereka dalam menghadapi masa yang mencabar ini,” ujarnya. – K! ONLINE









