Mertua pandang hina hanya kerana tidak bekerja - Utusan Malaysia

Mertua pandang hina hanya kerana tidak bekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SENYUMAN kelat yang terukir pada wajah Siti (bukan nama sebenar) jelas menunjukkan wanita tersebut ada menyimpan rasa duka di hatinya.

Membuka cerita, wanita kelahiran Sabah itu berkata, perkahwinan yang dibina bersama Asyraf (bukan nama sebenar) sudah genap usia 10 tahun pada September lalu.

“Syukur, perkahwinan yang dibina sudah berusia 10 tahun. Saya dan suami cukup bahagia dan perkahwinan kami tidak ada sebarang masalah.

“Setakat bergaduh kecil itu biasalah. Mana ada rumah tangga yang bebas daripada pertengkaran,” tutur wanita itu.

Begitu pun, Siti berkata, perkahwinan yang pada mulanya bahagia akhirnya diuji apabila ibu mertuanya, Habibah (bukan nama sebenar) menyindirnya dengan kata-kata menghiris perasaan selepas dia berhenti kerja kira-kira lima tahun lalu.

“Ibu mertua pada mulanya cukup rapat dengan saya. Begitu pun, saya sedar sikapnya mula berubah sejak lima tahun lalu disebabkan saya berhenti kerja.

“Selepas melahirkan anak ketiga, Asyraf mahu saya fokus terhadap anak-anak dan tidak kisah bekerja seorang kerana yakin mampu menanggung kami sekeluarga.

“Begitu pun, perkara tersebut menjadi isu buat Habibah yang tiba-tiba bersikap dingin, selain menuduh saya gemar menghabiskan duit suami,” jelasnya dengan nada sedih.

Siti sebelum ini bertugas sebagai pengurus perhubungan awam di sebuah syarikat swasta dan mengakui gaji yang diterima agak lumayan.

Berhenti kerja

Begitu pun, bebanan kerja yang banyak adakalanya membuatkan Siti terpaksa bekerja sehingga lewat malam.

Keadaan tersebut menjadikan Asyraf berasa kurang senang memandangkan dia juga sering pulang lewat ekoran tuntutan kerja.

“Asyraf juga memegang jawatan penting di syarikatnya dan sering pulang lewat serta sering bertugas di luar negara.

“Hal itu menyebabkan dia berasa kurang senang jika keadaan saya juga sama sepertinya.

“Bagi Asyraf, saya perlu menumpukan perhatian terhadap anak-anak. Akur dengan kehendak suami, saya akhirnya memutuskan untuk berhenti dan menjadi suri rumah sepenuh masa,” jelas Siti.

Biarpun tidak lagi bekerja, Siti akui dia tetap gembira menjaga anak-anak di rumah.

Begitu pun, ibu mertuanya tiba-tiba menjadi kurang senang dengan perubahan tersebut dan bersikap dingin terhadapnya.

“Pernah satu ketika, ibu mertua menyindir saya di hadapan ipar-duai dengan mengatakan saya gemar menghabiskan duit suami.

“Dia juga menuduh semua tas tangan dan juga pakaian berjenama yang saya pakai hasil daripada saya mengikis harta suami yang merupakan anak kesayangannya,” tutur Siti.

Walhal, semua tas tangan yang digayakan Siti merupakan hasil titik peluhnya semasa bekerja sebelum ini.

Malu disindir

Malu dengan sindiran tersebut, Siti sering mengelak untuk pulang ke rumah mertua.

Hubungan mereka semakin dingin apabila Habibah mendapat tahu Asyraf mengupah jurulatih peribadi di rumah bagi membolehkan Siti bersenam dan menjaga kesihatan dengan cara lebih teratur.

“Sebelum berkahwin, saya memang gemar ke gimnasium untuk menjaga kesihatan. Memandangkan anak-anak ke sekolah, adakalanya saya berasa bosan berseorangan di rumah.

“Asyraf mengupah jurulatih peribadi untuk melatih saya bersenam supaya masa lebih terisi.

“Badan saya juga semakin sihat dan saya akui berasa lebih gembira. Begitu pun, ibu mertua yang tahu tentang hal tersebut tiba-tiba menyindir saya dan menuduh saya memasang badan kerana mahu memikat lelaki lain,” katanya.

Siti sama sekali tidak menyangka ibu mertuanya yang dianggap macam emak sendiri itu tergamak menuduhnya perkara yang bukan-bukan.

Habibah juga amat marah dan terus-terusan menuduh Siti mahu mengikis wang anaknya memandangkan upah mengambil jurulatih peribadi bukanlah murah.

Kesal dengan keadaan itu, Siti semakin jarang pulang ke rumah Habibah.

Lebih memburukkan keadaan, dua adik perempuan Asyraf juga gemar menjadi batu api dan melaga-lagakan Siti dan ibu mertuanya.

Segala gerak-geri Siti juga diperhatikan dan mereka suka melihat media sosial wanita berusia 38 tahun itu untuk dijadikan bahan sindiran setiap kali pulang ke kampung.

“Baru-baru ini, Asyraf menghadiahkan saya seutas gelang emas sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan.

“Ibu mertua tiba-tiba bercakap dengan nada yang kuat menyuruh Asyraf supaya tidak lagi membelikan saya apa-apa dengan alasan nanti tidak cukup wang untuk membayar ansuran kereta dan rumah kerana memewahkan saya.

“Saya benar-benar tersentak dan hati saya terhiris mendengar kata-kata tersebut,” ujarnya.

Kini, Siti hanya mampu berharap agar ibu mertuanya berubah dan tidak membencinya lagi.

Siti selalu makan hati akibat disindir mertua hanya kerana dia memilih untuk berhenti kerja selepas melahirkan cahaya mata ketiganya lima tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN