MENYELAM dalam arus deras dengan hampir tiada jarak penglihatan.
Itu cabaran yang perlu dilalui anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)Selangor setiap kali menjalankan tugas menyelamat.
Tugas anggota PPDA bukanlah seperti penyelam-penyelam rekreasi yang meneroka kejernihan lautan di kawasan terumbu karang, sebaliknya mereka perlu berlawan dengan masa di laut, sungai dan kawasan banjir bagi mencari dan menyelamatkan mangsa lemas.
Berkongsi pengalaman selama 13 tahun bersama PPDA, Pegawai Penyelia Unit PPDA Pelabuhan Klang, Muhammad Syukri Ismail memberitahu, setiap anggota perlu melalui latihan pengukuhan berterusan bagi memastikan mereka sentiasa bersedia menghadapi sebarang situasi kecemasan ketika menyelamat.
Katanya, latihan yang dipraktikkan akan membolehkan para penyelam bomba berdepan dengan situasi di luar dugaan bagi mencari dan menyelamat mangsa lemas.
“Setiap anggota di unit ini perlu menjalani latihan setiap bulan bagi memastikan tahap kesediaan berterusan.
“Selain itu, kami perlu menjalani latihan secara teori dan praktikal bagi memberi keyakinan dan memantapkan kemahiran ketika menyelam,” katanya kepada Mega Wira baru-baru ini.
Menurut Muhammad Syukri, untuk melayakkan diri menjadi anggota PPDA bukanlah perkara mudah kerana setiap mereka memerlukan ketahanan fizikal yang tinggi terutama ketika menyelam pada paras dalam.
“Bayangkan dalam keadaan penglihatan yang terhad, kami tidak tahu apa yang ada di sekeliling. Kami hanya perlu menggunakan deria rasa dan gerak hati sepanjang operasi menyelamat berjalan.
“Kami mempertaruhkan nyawa untuk mencari mangsa lemas untuk diserahkan kepada pihak keluarga,” jelasnya.
Bercerita lanjut mengenai operasi menyelamat yang dilakukan, Muhammad Syukri menambah, seorang pegawai akan ditugaskan di permukaan air bagi memastikan jadual penyelam ditetapkan dan operasi berjalan lancar.
“Dalam setiap operasi, penyelam hanya mempunyai masa 30 hingga 35 minit kerana bergantung pada bekalan udara yang dimampatkan.
“Selain itu, faktor arus juga perlu diambil perhatian di samping keadaan air yang keruh. Jadi, penyelam yang melakukan operasi tidak akan berseorangan, sebaliknya mereka ditugaskan secara berpasangan berikutan faktor tersebut,” ujarnya.










