Mengetengahkan konsep santai dan Inggeris, Blockcafe sesuai dikunjungi oleh pelbagai golongan yang berbeza peringkat usia. Tidak kira remaja, kanak-kanak atau golongan dewasa, semua boleh meluangkan masa di sana.
Lebih menarik, kafe yang terletak di kawasan strategik di Perusahaan Ringan, Prima Seri Gombak, Batu Caves, Selangor ini menggabungkan dekorasi moden dan warna-warna semula jadi seperti hijau dan coklat. Kelihatan hiasan daun hijau pada dinding yang menjadikan sudut tersebut sesuai untuk mereka mencari ilham sambil menjamu selera.
Pemiliknya, Datin Nur Ezdiani Baharoddin berkata, Blockcafe yang beroperasi awal tahun ini sesuai dikunjungi dan untuk pelanggan meluangkan masa bersama rakan atau keluarga menikmati sajian minum petang, makan tengah hari dan makan malam. Blockcafe merupakan cetusan Nur Ezdiani bersama suaminya, Datuk Muhammad Azrainuddin Zainal yang mahu mengetengahkan kafe berkonsep teknologi dan moden.

Pihaknya tidak menggunakan khidmat perunding rekaan dalaman profesional sebaliknya konsep dekorasi dan hiasan kafe merupakan cetusan idea daripada pekerjanya sendiri.
“Kafe ini merupakan salah satu cabang perniagaan yang diusahakan saya dan suami. Memandangkan kami memang fokus dalam bidang teknologi kewangan. Kami mahu membuka kafe yang membolehkan pelanggan bersantai dan menjamu selera sambil berbincang pelbagai perkara termasuk tentang teknologi.
“Selalunya, kita lihat ramai anak muda atau pekerja minum sambil melihat komputer riba, bersembang seperti membincangkan sesuatu yang penting, mencari idea dan sebagainya di kafe-kafe terkenal. Daripada situ, kami mula menyedari betapa pentingnya kami membuka kafe untuk pekerja-pekerja kami dan membolehkan orang ramai berkunjung,” katanya.

Tambahnya, pemilihan konsep santai dirasakan sangat bertepatan bagi membolehkan pelanggan berasa seperti menjamu selera di rumah. Dalam pada itu, kebanyakan menu merupakan cetusan idea Nur Ezdiani yang menawarkan kira-kira 50 hidangan utama jenis makanan dan minuman yang bercirikan makanan Barat dan tempatan.
Kafe ini juga menampilkan sajian utama ala Inggeris dengan pilihan menu pelbagai termasuk sandwic, spageti, burger, daging kambing bakar dan banyak lagi. Bagi memenuhi cita rasa tempatan, kafe ini turut menyediakan pelbagai pilihan nasi goreng seperti super pedas, USA, cili padi, ayam percik, cina dan kampung. Di samping itu, terdapat pilihan sarapan ala kampung seperti nasi lemak pandan, lempeng, bihun goreng dan sebagainya.
Selain itu, terdapat hidangan bersaiz besar yang menggabungkan ayam panggang, bebola daging, pasta olio dan sosej ayam.
Bagi peminat kopi, pelanggan berpeluang menikmati lebih 10 jenis rasa kopi segar panas dan sejuk menggunakan biji kopi diimport. Selain itu, anda boleh menikmati pelbagai jenis kek.
“Kebanyakan sajian di sini merupakan resipi saya yang pernah saya masakan supaya pelanggan terasa seperti menikmati masakan di rumah,” jelasnya.
Dalam mencipta kelainan, kafe ini turut menyediakan ruang santapan di bahagian tingkat atas. Menariknya, anda boleh membaca pelbagai buku berkaitan teknologi kewangan memandangkan terdapat ruang perpustakaan di tingkat tersebut.

Nur Ezdiani berkata, kafe berkenaan beroperasi bermula pukul 9 pagi hingga 11 malam setiap hari kecuali Ahad dan mampu memuatkan 40 hingga 50 orang dalam satu masa. Kafe itu turut menyediakan ruang khas untuk sambutan pelbagai jenis majlis yang sudah pasti memberikan keistimewaan dan keunikan tersendiri. Selain kafe, terdapat juga auditorium ala panggung wayang yang terletak bersebelahan kafe yang boleh disewa untuk pelbagai majlis.











