Menjerit minta tolong sebelum rentung - Utusan Malaysia

Menjerit minta tolong sebelum rentung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 11 Dis. – Enam mangsa yang maut dalam kebakaran di sebuah premis rumah kedai di Kawasan Perindustrian Jelapang Maju di sini sempat menjerit meminta tolong sebelum suara mereka semakin perlahan dan lenyap.

Seorang saksi yang merupakan abang kepada salah seorang mangsa, P. Appu, 48, berkata, dia yang berada di luar premis itu terkejut apabila mendengar bunyi letupan kuat dan api mulai marak membakar premis berkenaan.

“Saya dengar adik saya jerit mak dan minta tolong. Saya cuba membantu memadamkan kebakaran dengan alat pemadam api tetapi gagal.

“Saya sedih kerana antara yang terkorban itu ialah adik saya sendiri. Dia adalah pemilik kedai dan rata-rata mangsa yang terlibat ialah pekerja baharunya berumur sekitar 20-an,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian, dia baru sahaja makan tengah hari dan sedang menghisap rokok di luar premis syarikat pengaturcara majlis tersebut yang telah beroperasi lebih 15 tahun.

R. SHAMALA
R. SHAMALA

Sementara itu, seorang saksi, R. Shamala, 37, berkata, jeritan yang didengarinya kedengaran dalam tempoh 10 minit itu bagaimanapun ‘hilang’ ditelenggami bunyi letupan dan percikan api dipercayai mercun.

Katanya, dia yang menyedari kejadian itu semasa menghantar kakaknya berkerja di lokasi berhampiran segera ke lokasi kejadian bagi meninjau keadaan sebenar.

“Bunyi letupan sangat kuat dan semasa sampai di sini, asap memang sangat tebal dan api marak. Saya dengar jeritan orang meminta tolong dari dalam (bangunan) tetapi tidak lama, dalam 10 minit sahaja.

“Orang ramai ada cuba membantu tetapi letupan dan percikan api dari dalam kedai itu menakutkan kami,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN