Apakah hukum menipu untuk mengelak mendedahkan aib sendiri dan keluarga? – Lisa, Kluang
UKE: Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.” (al-Isra’: 36).
Dalam membahas ayat ini, Imam al-Syinqithi berkata: “Allah melarang dalam ayat yang mulia ini agar manusia tidak mengikuti apa yang dia tidak mempunyai pengetahuan di dalamnya. Termasuk dalam hal ini adalah perkataan orang yang berkata: ‘Saya telah melihat’, padahal dia belum melihatnya.
‘Saya telah mendengar’, padahal dia belum mendengarnya. ‘Aku tahu’, padahal dia tidak mengetahuinya. Demikian pula orang yang berkata tanpa ilmu dan orang yang mengerjakan amalan tanpa ilmu, tercakup pula dalam ayat ini.” (Adhwa’ul Bayan, 3/145).
Jelas bahawa berbohong adalah berdosa jika dikerjakan. Namun ada pada beberapa tempat berbohong ini dibolehkan dalam keadaan tertentu seperti riwayat Imam Muslim:“Dan aku (Ummu Kultsum) tidak mendengar bahawa beliau memberikan rukhsah (keringanan) daripada dusta yang dikatakan oleh manusia kecuali dalam perang, mendamaikan antara manusia, pembicaraan seorang suami kepada isterinya dan pembicaraan isteri kepada suaminya.”
Maka anda nilaikan sendiri tujuan anda berbohong berada dalam kategori mana.
Hukum jaga mentua
Adakah benar dalam Islam bahawa menantu lelaki mempunyai tanggungjawab menjaga kedua ibu bapa mentua selain ibu bapa sendiri? – IKA, Selayang.
UKE: Kedudukan ibu kandung dengan ibu mentua bukanlah pada kedudukan yang sama. Ibu kandung adalah ibu kandung manakala ibu mertua adalah ibu mendatang disebabkan perkahwinan.
Wajib si anak berbuat baik kepada ibu bapanya apatah lagi dalam kalangan anak lelaki walaupun sudah beristeri. Namun tidaklah menjadi sepenuh kewajipan kepada si menantu lelaki untuk menjaga sepenuhnya mentua seperti menjaga ibu kandungnya.
Menjaga mentua tetap merupakan amalan mulia dan mendatangkan pahala malah berdosa jika menyakiti atau berbuat zalim kepada mereka walaupun mereka bukan ibu bapa kandung.
Harus diingat juga suami atau isteri tidak boleh melarang jika pasangan ingin menjaga dan berbakti kepada ibu bapa kandung mereka atas kedudukan sebagai anak kandung tetapi perlu juga menjaga hak dan tanggungjawab terhadap pasangan masing-masing. Di sinilah perlunya sikap bertolak ansur agar suami isteri dapat memberi khidmat yang terbaik kepada ibu bapa dan mentua mereka.










