KUALA LUMPUR 2 Dis.- Tunang anggota bomba yang cedera dalam rusuhan di Kuil Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya dekat sini terus berharap agar Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24 segera sembuh dan keduanya dapat disatukan dalam majlis perkahwinan yang dijadualkan akhir Disember ini.
Menerusi hantaran dalam laman Facebook miliknya, Nurul Najihah Mohd. Radzi, 25, terus menitipkan kata-kata semangat buat anggota dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya.
“Disember, menghitung hari untuk kita kamu. Hari yang kita dua tunggu. Semoga kamu kuat.. orang tunggu kamu,” katanya.
Mengikut perancangan pasangan yang berasal dari Kedah itu dijangka akan melangsung perkahwinan mereka pada 21 Disember ini.
Menerusi status tersebut netizen turut memberikan pelbagai kata-kata semangat kepada Nurul Najihah antaranya mendoakan agar majlis perkahwinan mereka dapat diteruskan seperti yang dirancang. – UTUSAN ONLINE










