KUALA LUMPUR – Tunang kepada seorang anggota bomba yang parah selepas dipercayai dibelasah kumpulan perusuh dalam insiden kekecohan di Kuil Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya baru-baru ini berharap Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, dapat sembuh dengan segera agar mereka dapat disatukan dalam majlis perkahwinan yang dijadualkan pada Disember ini.
Nurul Najihah Mohd. Radzi, 25, menerusi laman Facebook miliknya semalam turut memberikan kata-kata semangat kepada Muhammad Adib agar terus kuat dalam menempuh ujian tersebut.
“Disember. Menghitung hari untuk kita kamu. Hari yang kita dua tunggu. Semoga kamu kuat… orang tunggu kamu,” katanya.
Mengikut perancangan awal, pasangan berasal dari Kedah itu dijangka melangsungkan perkahwinan mereka pada 21 Disember ini.
Dalam pada itu, status Nurul Najihah itu turut menjadi tular di laman sosial sejak semalam dengan rata-rata netizen memberikan kata-kata semangat kepadanya.
Seorang pengguna Facebook menggunakan nama Adnan Adnan menulis, “Bukan Muhammad Adib saja kena kuat, tapi Nurul Najihah juga kena kuat. Hanya Allah saja yang maha mengetahui apa hikmah di sebalik kejadian ini. Ketahuilah tidak akan berlaku sesuatu itu tanpa sebab musabab.”
Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib yang merupakan anggota dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya patah tulang rusuk selepas dipercayai dibelasah kumpulan perusuh di pekarangan Kuil Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.
Kejadian dikatakan berlaku ketika sepasukan anggota bomba dengan dua jentera telah dikejarkan ke lokasi tersebut bagi memadamkan kebakaran sebuah kereta.
Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, dua jentera tersebut telah diserang sekumpulan lelaki menyebabkan Muhammad Adib ditarik keluar sebelum dibelasah.
Setakat ini, keadaan Muhammad Adib yang ditempatkan di Institut Jantung Negara (IJN) dilaporkan semakin baik dan telah menunjukkan tanda-tanda positif.










