Menelusuri keunikan Seri Perdana - Utusan Malaysia

Menelusuri keunikan Seri Perdana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERLETAK di atas tanah seluas 17.2 hektar di Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, Kompleks Seri Perdana yang menjadi kediaman rasmi Perdana Menteri kini dibuka secara rasmi kepada orang ramai untuk dikunjungi.

PERSIARAN Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, Kompleks Seri Perdana
Kompleks Seri Perdana di Presint 10 Putrajaya.

Bangunan tersergam indah berwarna putih dan mempunyai bumbung berwarna hijau itu pastinya menarik perhatian pengunjung kerana menonjolkan gabungan reka bentuk dan seni bina Melayu, Islam dan Eropah.

Melihat kepada reka bentuknya siapa sangka bangunan yang menjadi tempat untuk menyambut serta meraikan majlis-majlis bersama ketua-ketua negara, ketua-ketua kerajaan, pembesar-pembesar negeri dan orang ramai itu telah hampir menjangkau usia dua dekad.

DEWAN bankuet yang digunakan untuk meraikan tetamu negara dan
DEWAN bankuet yang digunakan untuk meraikan tetamu negara dan mampu memuatkan sebanyak 200 hingga 300 orang dalam satu masa.  www.seriperdana.gov.my 

Kediaman rasmi Perdana Menteri itu pernah menyaksikan tiga bekas Perdana Menteri era kerajaan Barisan Nasional (BN) pernah mendiami kediaman tersebut iaitu bermula dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga dikenali sebagai arkitek pembinaan Putrajaya; Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika itu orang ramai hanya berpeluang melawat dan masuk ke perkarangan kompleks tersebut ketika sambutan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri pada setiap 1 Syawal.

Namun, bermula era kerajaan Malaysia baharu yang dipimpin semula oleh Dr. Mahathir, kompleks tersebut kini sudah dibuka untuk tatapan umum selaras dengan prinsip Seri Perdana sebagai kepunyaan rakyat.

Dibuka pada setiap hari kecuali Jumaat dan hari kelepasan am, orang ramai dibenarkan untuk memasuki bahagian tertentu di Seri Perdana iaitu melibatkan blok protokol dan blok bankuet secara lebih dekat.

Blok protokol yang merangkumi beberapa bilik utama antaranya bilik tetamu diraja, bilik tetamu khas, bilik menunggu, bilik mesyuarat dan dewan jamuan khas digunakan untuk menyambut dan meraikan ketua-ketua negara, ketua-ketua kerajaan dan pembesar-pembesar luar dan dalam negara.

Di bilik tetamu utama, dif-dif kenamaan akan disambut oleh Perdana Menteri di bilik tersebut. Pada masa sama, bilik itu juga digunakan untuk perbincangan tertutup dengan ketua-ketua negara dan ketua-ketua kerajaan manakala bilik tetamu khas merupakan ruang istirehat utama untuk dif-dif kenamaan.

BLOK protokol yang digunakan untuk menyambut dan meraikan ketua-ketua
BLOK protokol yang digunakan untuk menyambut dan meraikan ketua-ketua negara, ketua-ketua kerajaan dan pembesar-pembesar luar dan dalam negara.

Selain itu, orang ramai juga boleh melihat dua bilik menunggu khas yang disediakan untuk kemudahan tetamu, bilik mesyuarat yang digunakan oleh Perdana Menteri untuk mesyuarat rasmi bersama dif-dif kenamaan dan dewan jamuan khas yang mampu memuatkan sebanyak 60 tetamu kenamaan negara.

BLOK PROTOKOL

Berhampiran blok protokol pula, orang ramai boleh melawat blok bankuet yang merangkumi dewan bankuet dan galeri.

Dewan bankuet tersebut digunakan untuk meraikan tetamu negara dan mampu memuatkan sebanyak 200 hingga 300 orang tetamu manakala galeri menempatkan ruang pameran koleksi hadiah, anugerah dan cenderahati yang diterima oleh Perdana Menteri daripada pembesar-pembesar luar dan dalam negara.

Bagi pengunjung yang berhasrat untuk melawat kompleks tersebut beberapa garis panduan dan syarat perlu dipatuhi antaranya dengan membuat permohonan rasmi sekiranya menggunakan pemandu pelancong.

Permohonan tersebut perlu dihantar selewat-lewatnya tujuh hari sebelum tarikh lawatan dengan memuat naik borang dalam talian di http://www.seriperdana.gov.my atau emel ke [email protected].

Selain perlu berpakaian kemas dan sopan, setiap pengunjung sama ada dalam atau luar negara perlu membawa kad pengenalan diri atau pasport untuk tujuan pendaftaran.

Tempoh masa yang diberikan untuk membuat lawatan ialah selama satu jam 30 minit, bagaimanapun pihak pengurusan boleh meminda jadual lawatan sekiranya terdapat majlis rasmi semasa waktu lawatan tersebut.

Sebagai sebuah kawasan yang menempatkan kediaman rasmi Perdana Menteri, kompleks tersebut merupakan kawasan larangan yang telah diisytiharkan di bawah Akta Kawasan Larangan Dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298).

Semua pelawat adalah tertakluk kepada beberapa peraturan dan arahan seperti tidak dibenarkan membawa apa-apa bentuk kamera atau telefon berkamera, melalui pemeriksaan keselamatan dan tidak dibenarkan berseluar pendek, berselipar atau pakaian yang terdedah.

Pada masa sama, pelawat juga tidak dibenarkan membawa sebarang beg, makanan, minuman, merokok atau membawa masuk apa jua jenis binatang peliharaan ke dalam kawasan kompleks tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN