JOHOR BAHRU – Seorang lelaki meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini selepas dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul sebelum ditinggalkan di tepi jalan di Taman Perling Ahad lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Kamaluddin Kassim berkata, sebelum itu mangsa berumur 20 tahun dihantar ke HSA di sini oleh seorang lelaki menaiki kereta pada pukul 6.30 petang sebelum disahkan meninggal dunia.
“Pemeriksaan doktor mendapati mangsa yang berasal dari Pulau Pinang telah meninggal dunia dalam perjalanan ke HSA akibat kecederaan parah pada kedua-dua belah tangan dan kaki serta lebam belakang badan,” katanya.
Kamaluddin berkata, susulan itu polis telah menubuhkan pasukan khas bagi menyelesaikan kes ini setelah tiga lelaki berumur lingkungan 25 hingga 31 tahun ditahan hari ini bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal keatas kesemua suspek mendapati mereka terlibat dalam kejadian ini. Mereka kemudiannya direman selama tujuh hari sehingga Jumaat depan.
“Setakat ini motif kejadian dipercayai kerana penyelewengan kewangan dalam sindiket judi dalam talian,” katanya. – K! ONLINE










