ALOR SETAR – Mayat seorang lelaki berusia 41 tahun ditemui dengan kesan tikaman pada badan dan leher di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Taman Bandar Baru, Sungai Petani dekat sini awal pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Sazalee Adam berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu kira-kira pukul 4.15 pagi.
“Mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah di tempat duduk pemandu MPV jenis Nissan Grand Livina di kawasan tapak pasar malam,” katanya dalam satu kenyatan di sini sebentar tadi.
Kata beliau, hasil siasatan mendapati terdapat beberapa kesan tikaman pada badan dan leher mangsa.
“Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk dibedah siasat,” ujarnya.
Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – K! ONLINE










