Mayat berbungkus selimut tebal rupanya lelaki ada 10 rekod jenayah - Utusan Malaysia

Mayat berbungkus selimut tebal rupanya lelaki ada 10 rekod jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Misteri identiti mayat yang ditemui dibaluti selimut tebal dipercayai dibunuh di pangkalan nelayan Kampung Sungai Sireh Tambahan 2, Pelabuhan Klang di sini Isnin lalu, akhirnya terbongkar apabila didapati seorang lelaki yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau. 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, ini adalah hasil semakan rekod terhadap mayat tersebut selepas proses bedah siasat oleh doktor di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini semalam.

Katanya, berdasarkan bedah siasat itu mendapati punca kematian adalah disebabkan atas sebab tidak dikenalpasti akibat pereputan badan.

“Hasil bedah siasat mendapati mayat itu seorang lelaki warga tempatan dengan mempunyai tanda suntikan bacille calmette-guerin (BCG)  dengan mayat dipercayai telah berada di air selama lima hingga tujuh hari.

“Semakan rekod terhadap cap jari mayat mendapati merupakan lelaki Cina berusia 56 tahun dan mempunyai 10 rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Jelas Shamsul, kesemua rekod jenayah lampau tersebut melibatkan enam kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dua di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya. 

“Selain itu, si mati juga didapati mempunyai masing-masing kesalahan mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 15 Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA),” katanya. 

Kosmo! sebelum ini melaporkan Penduduk Kam­pung Sungai Sireh Tambahan 2,  Pelabuhan  Klang di sini Isnin lalu dikejutkan dengan penemuan mayat dibaluti selimut tebal dipercayai dibunuh di pangkalan nelayan kampung itu.

Mayat tersebut ditemui pukul 6.49 petang oleh oleh seorang lelaki yang melalui kawasan tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×