LONDON 4 Dis. – Perdana Menteri Britain, Theresa May akan menggesa Parlimen untuk menyokong perjanjian Brexit pada permulaan debat selama lima hari bermula hari ini.
Lapor BBC, debat berkenaan akan menentukan nasib May dan sama ada Britain akan meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) tanpa sebarang perjanjian.
Rancangan May untuk menjalinkan kerjasama dengan EU selepas meninggalkan blok berkenaan telah dikritik oleh penyokong Brexit dan pembangkang, sekali gus berdepan kesukaran untuk mendapatkan kelulusan Parlimen dalam undian bakal dijalankan pada 11 Disember kelak.
Sekiranya May menang pada undian terbabit, Britain akan meninggalkan EU berkuat kuasa 29 Mac di bawah perjanjian bersama Brussels.
Namun sekiranya May kalah, beliau berkemungkinan akan menggesa undian kedua dijalankan tetapi akan meningkatkan peluang Britain meninggalkan EU tanpa sebarang perjanjian.










