KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki yang memandu secara melawan arus dipercayai akibat tersalah jalan membawa padah apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandunya merempuh seorang penunggang motosikal di Kilometer 1.6, Penchala Link menghala Jalan Duta di sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu menyebabkan penunggang motosikal, Mohd. Nabil Hashim (gambar kecil), 22, tercampak dari jejambat setinggi lima meter sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kosmo! difahamkan, kenderaan SUV jenis Honda HR-V dipandu lelaki berusia 29 tahun itu dipercayai tersalah jalan menyebabkan ia bergerak melawan arus sebelum bertembung dengan sebuah motosikal jenis Yamaha Y150 ditunggang Mohd. Nabil.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal dari arah Damansara menghala ke pusat bandar.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa telah bertembung dengan sebuah SUV yang datang secara melawan arus.
“Impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke bawah jejambat setinggi kira-kira lima meter,” katanya di sini semalam.
Menurut beliau, pegawai perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Menurutnya lagi, pemandu SUV itu tidak mengalami sebarang kecederaan, namun kenderaannya mengalami kerosakan pada bahagian hadapan.
“Pemeriksaan yang dilakukan ke atas pemandu SUV itu mendapati dia tidak mabuk ketika kejadian dan pihak polis sedang siasat punca dia melawan arus.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa dibawa ke PPUM untuk dibedah siasat,” ujarnya.










