SEREMBAN – Seorang lelaki berusia 32 tahun maut dilanggar sebuah lori tiga tan sewaktu membaiki tayar kenderaannya di lorong kecemasan di Kilometer 269.3 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini kira-kira pukul 5.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, semasa kejadian mangsa dan empat ahli keluarganya dalam perjalanan dari Jempol, Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.
“Kemalangan berlaku apabila kereta dipandu mangsa mengalami kerosakan pada bahagian tayar sebelah hadapan kanan. Pemandu tersebut memberhentikan kenderaannya di laluan kecemasan untuk menukar tayar yang rosak.
“Ketika menukar tayar, sebuah lori tanpa muatan yang bergerak di lorong paling kiri lebuh raya itu hilang kawalan lalu terlanggar belakang kanan Perodua Alza tersebut dan mangsa yang berada di lorong kecemasan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Hock Poh berkata, pelanggaran itu menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian, manakala lori tiga tan berkenaan terbabas ke bahu kiri lebuh raya sebelum masuk ke dalam longkang di lokasi berhampiran.

Jelas beliau, mayat mangsa yang maut serta mereka yang terlibat dalam kemalangan itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ).
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Mohammad Asree Abd. Hamid berkata, mangsa dipercayai diseret oleh lori berkenaan sejauh kira-kira empat meter selepas dilanggar.
Menurut beliau, semasa kejadian, isteri dan tiga anak perempuan mangsa berusia tiga hingga lapan tahun berada di dalam kenderaan, namun kesemua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambah beliau, pemandu dan kelindan lori berkenaan juga tidak mengalami sebarang kecederaan. – K! ONLINE










