MASSB saman AirAsia X RM26.72 juta - Utusan Malaysia

MASSB saman AirAsia X RM26.72 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Dis. – Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (MASSB) menyaman AirAsia X Bhd. sebanyak RM26.72 juta untuk tunggakan caj perkhidmatan penumpang (PSC).

Menurut AirAsia X, pihaknya percaya tuntutan dibuat tanpa justifikasi dan tidak munasabah justeru kumpulan akan mempertahankan prosiding itu dengan bersungguh-sungguh.

Katanya, dakwaan tunggakan itu terbahagi kepada dua bahagian. Pertama, AirAsia X telah mengutip sebanyak RM50 setiap penumpang antarabangsa bukan ASEAN dan telah membayar kepada MASSB.

Jelasnya lagi, walau bagaimanapun, MASSB mahu AirAsia X untuk mengumpul tambahan sebanyak RM23 setiap penumpang berkuat kuasa Julai 2018 dan kumpulan tidak mahu berbuat demikian.

“MASSB menegaskan bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) perlu mengenakan kadar yang sama seperti KLIA. Kami percaya KLIA2 adalah lapangan terbang kos rendah dan caj dikenakan harus mencerminkan tahap perkhidmatan yang disediakan.

“AirAsia X berpendapat bahawa kami tidak diwajibkan untuk mengumpul PSC yang sama untuk penumpang yang berlepas dari KLIA2 dan tidak akan berbuat demikian demi semua pihak berkepentingan di dalam industri penerbangan dan pelancongan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Dakwaan kedua, tunggakan PSC sebenarnya telah dikutip. Bagaimanapun, AirAsia X berhasrat untuk meneruskan tuntutan bersilang terhadap MASSB berhubung infrastruktur dan keadaan lapangan terbang dan operasinya termasuk kecacatan utama apron, penutupan rawak landasan, kerosakan kepada pesawat dan saluran paip bahan api yang pecah.

“Kami percaya dakwaan ini jauh melebihi tuntutan yang diminta oleh MASSB memohon. Kami telah cuba beberapa kali untuk berhubung dengan MASSB berkaitan isu-isu ini tetapi tidak berjaya.

“Malangnya MASSB telah memutuskan untuk membawa isu-isu ini ke peringkat awam dengan memulakan tindakan undang-undang,” katanya.

AirAsia X telah mengarahkan peguamnya untuk mewakili kumpulan dalam prosiding dan sebarang perkembangan terkini akan dibuat dari semasa ke semasa selaras dengan keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN