KUALA LUMPUR 13 Dis. – UMNO Sabah mampu bangkit dengan memperbaiki dan memperkukuhkan kedudukan parti untuk terus kekal relavan di negeri itu.
Pensyarah Sains Politik dan Dasar Awam UiTM Sabah, Mohd. Rahezzal Shah Abdul Karim berkata, masih belum terlambat untuk parti itu bangkit semula namun, memerlukan tindakan pembaharuan yang jelas dan berkesan daripada pemimpin pusat dan negeri.
Menurutnya, tindakan utama yang perlu diberi perhatian Majlis Tertinggi UMNO untuk menyelamatkan parti itu ialah melaksanakan kuasa autonomi yang jelas seperti mana dituntut pemimpin UMNO sebelum ini.
“Melihat kepada situasi UMNO di Sabah ketika ini boleh dikatakan parti itu hampir lumpuh, tetapi untuk kita meletakkan hukuman parti itu sudah terkubur adalah masih terlalu awal.
“Walau bagaimanapun, semuanya terletak kepada sejauh mana pimpinan UMNO pusat dan negeri dalam menentukan kedudukan parti selain memerlukan tindak segera dengan melakukan perancangan jelas tentang hala tuju serta pembaharuan parti dalam tempoh masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan UMNO Sabah tidak akan terbubar dan dijamin terus kekal walaupun terdapat ramai pemimpin serta ahli bertindak keluar parti. – UTUSAN ONLINE











